Sepanjang hujung minggu lepas, SarawakYES! telah berkesempatan mengumpul kisah-kisah yang berlaku di bilik temuduga untuk dijadikan panduan dan pengajaran kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan. Kisah – kisah ini telah dikongsikan bersama oleh pihak penemuduga dan kami di SarawakYES! berharap penulisan ini akan dimanfaatkan anda semua.
“Sijil beliau semuanya dibingkaikan dan dibawa masuk ke bilik temuduga”
*Eric, 30 tahun, Eksekutif Bahagian Sumber Manusia.
“Sudah menjadi satu kebiasaan untuk organisasi di mana saya bekerja mengadakan sesi temuduga setiap 4 bulan memandangkan ramai kakitangan yang berkerja secara separuh masa dan berhenti selepas 3 – 4 bulan (kebanyakannya pelajar kolej/universiti).
Ada suatu ketika, kami menerima permohonan daripada seorang lepasan SPM dan berdasarkan resume yang diterima, beliau tampak layak untuk dipanggil temuduga. Jadi, pihak kami membuat keputusan untuk memanggil untuk ditemuduga. Pada hari tersebut, beliau kelihatan seperti calon-calon lain dan panel penemuduga merasakan tiada apa-apa yang luar biasa….. sehinggalah sijil-sijil beliau dikeluarkan.
Semuanya siap dibingkaikan! Suasana menjadi kekok sebentar, sebelum beliau bercerita segala pencapaian sewaktu di sekolah. Saya bukanlah hendak menjadi seorang yang prejudis, tetapi ini sangat aneh. Semua orang faham akan keperluan untuk menonjol sewaktu temuduga, tetapi tidaklah sehingga suasana menjadi kekok seperti ini. Saya lihat panel penemuduga lain sudah hilang minat. Akhir cerita, tiada tawaran kerja diberikan kepada beliau.”
“Beliau enggan berbahasa Inggeris”
*Marina, 42, Pegawai Pemasaran & Periklanan
“Saya telah menemuduga seorang graduan yang baharu saja menamatkan pengajian beliau 5 bulan sebelum itu. Elok saja saya nak menanyakan soalan, beliau awal-awal lagi memberitahu dia tak fasih berbahasa Inggeris dan sekiranya ditawarkan bekerja di sini, beliau tidak akan berbahasa Inggeris sama sekali! (-.-)’
Saya terpaku. Saya tak pasti sama ada beliau benar-benar maksudkannya atau menguji saya. Dalam industri ini, penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap adalah sangat penting apabila melibatkan komunikasi dan operasi (apatah lagi jika bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangsa) dan sekiranya anda enggan … tiada siapa pun dapat bantu anda. Jadi ingatlah, Bahasa Inggeris itu penting. Berusahalah untuk menguasainya sebelum anda tamat pengajian dan anda akan dapati nasihat saya ini ada betulnya. Selamat berjaya.”
“Mengutuk bekas majikan di dalam temuduga bukanlah tindakan bijak”
*Roman, 33, Pengurus
“Jangan burukkan bekas majikan anda semasa ditemuduga, tidak sama sekali. Saya telah menemuduga seorang calon yang mengeji bekas majikan dengan bersungguh-sungguh. Rasanya, separuh daripada sesi itu dihabiskan dengan mengutuk. Adakah saya mengambil beliau bekerja? Tidak! Saya tak perlu meletakkan risiko diri saya dan syarikat diaibkan oleh beliau di temuduga lain (atau di atas talian, kerana beliau ada menyebut beliau menulis blog) selepas mengambil beliau kerja di sini.
Sekiranya kamu berhasrat untuk meninggalkan majikan kamu sekarang dan sertai orang lain, tidak perlu untuk memburukkan majikan anda kerana kami tak peduli pun tentang keburukan mereka. Kami menilai kamu dan pencapaian kamu. Kami nak tengok sama ada kamu layak dan menepati kriteria kami cari. Senang saja, datang temuduga, jual kehebatan diri kamu, tapi elakkan dari menceritakan keburukan orang lain.
Be the nice guy, even if you have to pretend like one.”
“Beliau mengatakan portfolio yang kelam-kabut itu sebagai work in progress”
*Jefry, 40 tahun, Pengarah Kreatif
“Temuduga adalah proses penting untuk kami mengenali calon yang berpotensi. Oleh itu, kami mengharapkan calon datang bersedia segenap segi. Saya tidak gemar temuduga yang dilangsungkan kelam-kabut dan tidak terurus. Kalau berjalan lancar, semua pihak akan senang dan gembira.
“Beberapa tahun lepas, saya telah menerima permohonan daripada seorang calon yang memohon jawatan penulis di organisasi ini. Pada hari temuduga, beliau tiba lewat hampir sejam. Ah, ini mengecewakan. Baiklah, saya beri lagi peluang. Temuduga berlalu dengan biasa-biasa sahaja. Kemudian saya meminta portfolio beliau untuk saya nilai.
Sekali lagi saya kecewa. Portfolio beliau caca-marba. Setiap kerja tidak diberikan penerangan yang baik. Kesalahan ejaan dan tatabahasa merata-rata. Apabila saya mengkritik dan menunjukkan kesilapan, beliau terus menjadi defensive dan meyakinkan saya yang portfolio beliau sebagai ‘work in progress’. Saya yakin beliau datang tidak bersedia dan sekadar bergantung kepada nasib. Saya jadi kasihan, lantas sesi temuduga bertukar menjadi sesi kaunseling untuk menasihati beliau untuk memandang temuduga sebagai sesuatu yang serius. Saya turut meninggalkan tip untuk mempertingkatkan portfolio beliau, kerana dalam industri kami (sebenarnya, dalam mana-mana industri sekali pun), portfolio adalah ‘golden ticket’ untuk diterima bekerja .
“Tidak memahami keperluan digariskan oleh penemuduga”
*Hasan, 36, Penulis Kanan
“Sebelum menghadiri temuduga, pastikan anda memahami kehendak yang diperlukan oleh panel penemuduga. Kegagalan memahami dan memenuhinya akan menyebabkan kekeliruan serta menyebabkan masa terbazir, seperti seorang calon yang pernah saya temuduga untuk jawatan penulis bahasa Melayu.
Sebelum ditemuduga, calon dihendaki untuk menjalani ujian bertulis. Apa yang mengejutkan kami semasa temuduga tersebut adalah kesemua jawapan adalah dalam Bahasa Inggeris, walhal ujian adalah dalam Bahasa Melayu. Tambahan lagi, jawatan yang dipohon adalah penulis Bahasa Melayu!
Apabila ditanya, beliau menjawab ini adalah cubaan ‘thinking outside of the box’ beliau. Saya tahu mungkin ini cubaan beliau untuk tampil kreatif, tapi sekiranya anda tidak dapat memenuhi arahan dan apa yang dipinta, minta maaf sahaja kerana kami tak boleh terima. Saya tamatkan sesi lebih awal daripada dijangkakan kerana beliau tidak dapat memenuhi apa yang kami cari. Amat sayang sekali.
*****
*Nama – nama penemuduga telah diubah bagi tujuan penulisan artikel ini.