SarawakYES! telah berpeluang untuk menemuramah Billy Shilton, seorang penolong pegawai latihan vokasional di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan semasa di SCaT Fair 2015 yang dianjurkan pada bulan Mac lalu.
Beliau telah berkongsi mengenai pelbagai bidang kursus teknikal yang boleh dipilih dan juga peluang pekerjaan yang setaraf dengan di Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Q: Helo, bolehkah saudara memperkenalkan diri anda?
A: Nama saya Billy, seorang penolong pegawai latihan vokasional di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan. Saya sedang mengajar di dalam bidang mekanikal.
Q: Apakah kursus yang ditawarkan di ILP?
A: Kita menawarkan sebanyak 8 kursus di ILP. Yang pertama, adalah pemesinan, pembuatan acuan dan alat pemotong. Kemudiannya kimpalan arka dan gas, fabrikasi logam, Pemasangan Paip dan Gas, Teknologi Automotif, Teknologi Elektrik dan Teknologi Mekatronik. Ini yang kita tawarkan di ILP Kota Samarahan.
Q: Bila golongan muda yang ingin tahu tentang kursus yang ditawarkan, apakah yang harus mereka kenalpasti sebelum memilih kursus?
A: Pertama sekali yang perlu kita kenalpasti ialah minat. Apa saja kita ingin buat kita kena turut pada minat kita. Kita perlu tanya dengan diri kita sendiri dulu: “Apa yang saya minat?” Sama ada teknikal, elektrikal, automotif dan sebagainya. Pertama sekali ialah minat. Yang kedua yang kita kenalpasti ialah peluang kerjaya yang ada di luar, di sekitar kita. Contohnya kalau kita berada di Miri. Apakah peluang yang ada di Miri? Sebagai contoh, kalau di Miri dan Bintulu, peluang pekerjaan lebih cenderung ke arah industri Oil and Gas. Kalau di Sibu, dia lebih kepada fabrikasi logam iaitu pembinaan syarikat pekapalan. IniIah perkara – perkara yang perlu kita kenalpasti dulu.
Q: Apakah sokongan yang ditawarkan oleh ILP dalam membantu pelajar?
A: ILP Kota Samarahan adalah satu usaha kerajaan pusat dan yuran pengajian adalah percuma. Selain daripada itu, kita juga memberi elaun sebanyak RM100 sebulan kepada pelajar selama dua tahun. Penginapan dan makan minum juga disediakan oleh pihak institut.
Apa yang menarik mengenai ILP Kota Samarahan ini adalah kita tidak perlu bayar balik elaun setelah menamatkan pengajian. Yuran ditanggung sepenuhnya oleh institut. Kemudahan sukan, kemudahan riadah dan kemudahan bengkel juga disediakan untuk kegunaan para pelajar.
Q: Dari segi pemilihan kursus, macam mana anda membantu anak – anak muda untuk membuat keputusan?
A: Pertama sekali, saya akan bertanyakan minat mereka terlebih dahulu. Yang kedua, saya akan bertanyakan mengenai peluang-peluang yang terdapat di persekitaran atau kawasan mereka. Sebagai contoh, seorang pemuda mengatakan bahawa di kawasan perumahannya terdapat banyak syarikat dan bengkel automatif, namun begitu dia hanya berminat untuk bekerja sendiri menjadi seorang usahawan.
Kita perlu peka dengan kehendak anak – anak muda zaman sekarang. Sekarang ni, mereka lebih cenderung untuk menceburi bidang keusahawanan, memulakan perniagaan sendiri. Berdasarkan input yang diberikan, kita dapat membantu mereka untuk memilih kursus yang sesuai dengan minat mereka. Sebagai contoh untuk situasi tadi, kita memang ada modul keusahawanan untuk belia belajar cara-cara menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Q: Apakah jenis sokongan yang ditawarkan oleh pihak ILP apabila pelajar telah menamatkan pengajian mereka?
A: Di ILP Kota Samarahan kita ada satu unit yang digelar Unit CESS iaitu Community Employer Support Service. Di ILP ,satu sesi perjumpaan dengan pihak industri akan diadakan untuk pelajar yang telah menamatkan kursus mereka. Contohnya wakil-wakil industri akan dijemput datang dan kita akan bagi kesempatan untuk majikan bertemu dengan pelajar. Kadang kala sesi temuduga juga diadakan. Yang kedua, pelajar kita juga boleh merujuk pada Unit CESS ni untuk meminta alamat ataupun nombor bakal majikan yang terdapat di dalam senarai kita. Ini adalah sangat berguna kepada mereka sebab ianya adalah penting untuk mereka mengetahui syarikat yang menawarkan kerjaya yang berkaitan dengan bidang yang mereka pelajari. Kita di ILP akan membantu pelajar-pelajar kita bukan sahaja semasa pengajian malah membantu dengan cara yang sesuai untuk mereka memperolehi pekerjaan.
Q: Apakah perkara yang paling best untuk belajar di Sarawak?
A: Bagi anak – anak Sarawak, mereka mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran di negeri sendiri. Sekarang, kemudahan-kemudahan pengajian dan teknologi di Sarawak sudah setaraf dengan negeri lain mahupun negara luar.
Tarikan tentang syarikat Sarawak dan industri pun sama juga seperti yang ada di Semenanjung Malaysia.