Sekiranya anda sedang menuntut di kolej, universiti, politeknik atau sebarang institut pendidikan tertiari, anda pasti sedia maklum mengenai fungsi latihan amali (juga dikenali sebagai latihan industri, latihan praktikal, atau perantisan).
Latihan amali digunakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai situasi sebenar dunia pekerjaan dan pelajar akan dinilai berdasarkan pencapaian dan kefahaman mereka selepas melalui latihan ini.
Minggu ini, SarawakYES! ingin berkongsi beberapa tip untuk menghadapi latihan industri.
1. Tiba awal
Ini adalah peraturan yang sentiasa dititikberatkan kepada kakitangan di mana-mana organisasi dan pelatih turut tertakluk kepadanya. Apatah lagi ini merupakan tempoh yang penting di mana anda akan sentiasa diperhatikan, dan semestinya disiplin adalah kriteria yang dicari, selain daripada memiliki bakat.
‘Tapi kenapa saya perlu datang awal? Saya hanya pelajar praktikal!’
Tiba awal akan memberi manfaat terhadap produktiviti seharian anda. Selain daripada melatih anda menjadi berdisiplin, tiba awal ke pejabat membolehkan anda bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat tugasan yang menunggu. Sekiranya anda belum diberi tugasan harian, anda boleh menggunakan waktu awal pagi untuk merancang tugas yang akan diberikan, menyelesaikan tugasan tertunggak, mengemaskini laporan buku log atau mungkin bersarapan. Melatih diri untuk datang awal ke tempat kerja juga boleh menjadi tabiat yang akan memanfaatkan anda suatu hari nanti.
2. Libatkan diri
Latihan industri membolehkan anda mendapat pengalaman sebenar bagaimana karier dan industri yang diinginkan berfungsi. Jadi, sentiasa libatkan diri sepanjang tempoh latihan. Tidak berbuat demikian bukan sahaja merugikan anda tetapi juga kepada organisasi yang mengambil anda. Mereka mengharapkan anda untuk menyumbang sesuatu kepada organisasi, sambil memantau potensi anda untuk diserap masuk selepas latihan tamat. Jadi kenapa perlu mengambil pelatih yang pasif dan enggan memainkan peranan? Ini merugikan tenaga kerja, waktu dan wang. Latihan industri seharusnya memanafaatkan kedua – dua pihak iaitu, pelajar dan organisasi.
‘Bagaimana saya ingin libatkan diri? Saya takut dianggap mengganggu mereka.’
Ini mungkin perkara yang merisaukan para pelatih. Sebagai seorang yang ingin belajar, anda perlu hilangkan rasa malu. Adalah lebih baik anda melibatkan diri dalam setiap projek dan akhirnya berjaya mempelajari sesuatu, daripada menyendiri yang akhirnya tidak mendapat apa-apa kerana malu. Sebenarnya, melibatkan diri dalam projek merupakan salah satu cara untuk membolehkan anda dikenali dalam organisasi. Ini membolehkan anda memulakan ‘networking’, iaitu menjalin rangkaian kenalan di dalam industri.
3. Tidak menolak kerja diberi
Kita sering mendengar pelatih di”buli” seperti dibebani kerja yang terlalu banyak, diberikan tugasan yang di luar skop latihan dan banyak lagi. Walaupun tidak dinafikan ia memang berlaku, anda perlulah menanganinya dengan bijak. Diberi pelbagai kerja bukan bermaksud anda dibuli. Ia mungkin pendedahan yang baik kerana anda diberi peluang untuk merasai skop kerja yang sebenar yang berbeza-beza (terutamanya jika berada di dalam syarikat kecil) dan boleh mempraktikkannya. Sekiranya jumlah kerja dan skop kerja diberikan tidak menepati keperluan latihan anda, pastikan anda memaklumkan perkara ini kepada bahagian sumber manusia organisasi tersebut dan juga kepada penyelia anda.
‘Tapi saya disuruh membuat kerja-kerja pemfailan, kemudian disuruh jadi pelakon tambahan untuk video korporat pula, macam mana ni?’
Tujuan utama latihan industri adalah mendedahkan anda kepada bagaimana bidang anda berfungsi di dunia sebenar. Di alam pekerjaan, kebolehan ‘multi task’ seseorang individu merupakan ciri-ciri yang sangat dihargai majikan, terutamanya di dalam syarikat yang kecil dan tidak mempunyai ramai pekerja. Latihan industri adalah peluang untuk mengetahui dan mengasah keupayaan ‘multi task’ anda, jadi ambil peluang ini untuk menonjol.
4. Cuba sebanyak jabatan/jawatan yang mampu
Ini bergantung kepada tempat dimana anda menjalani latihan industri. Menjalani latihan industri bererti anda perlu mencuba sebanyak mungkin kerana ini peringkat anda ingin mengetahui kesesuaian dan potensi dalam industri pilihan anda. Sebagai contoh, anda mungkin menyangka pemasaran sesuai untuk anda, tetapi setelah menjalani latihan, anda lebih menyinar di bahagian komunikasi korporat. Semua ini mungkin berupaya pandangan dan matlamat anda untuk jangka masa panjang. Sentiasa cari peluang untuk mencuba di bahagian-bahagian lain dalam organisasi, kerana ini adalah salah satu peluang untuk meneroka potensi anda. Anda mungkin tidak akan mendapat peluang yang serupa lagi apabila menjejaki dunia pekerjaan yang sebenar.
‘Tapi penyelia saya tak benarkan saya bertukar-tukar ke jabatan lain di atas alasan menyukarkan saya menulis laporan buku log nanti.’
Ini hanyalah cadangan sahaja, dan tidak semua pelatih mampu menangani tekanan bertukar-tukar ke jabatan lain. Jika anda sanggup dan penyelia anda bersikap ‘cool’, kenapa tidak? Seperti mana yang dinyatakan tadi, latihan industri memberi peluang untuk anda merasai semua jenis skop kerja dan tanggungjawab dalam sesebuah organisasi. Di bawah merupakan kisah pendek yang dikongsi kenalan saya tentang menjalani latihan industri:
‘Saya diletakkan di bahagian account servicing di sebuah agensi pengiklanan. Masalahnya saya tidak berminat walaupun sudah sebulan cuba mempelajari tentang client servicing kerana saya teringin terlibat dalam bahagian creatives. Apabila saya menyuarakan keinginan untuk bertukar, permohonan saya ditolak dengan alasan bahagian account servicing kekurangan tenaga kerja. Saya masih nak mencuba menjadi pelatih penulis iklan. Jadi apa yang saya buat, setiap hari saya akan ke bahagian creatives senyap-senyap selepas jam 5 petang dan cuba membuat kerja-kerja penulisan iklan dengan bantuan seorang penulis iklan. Selepas tamat latihan, saya mempunyai pengalaman dari kedua-dua jabatan.’
5. Jalani latihan industri di setiap cuti semester
Anda tidak semestinya menunggu sehingga di tahun terakhir pengajian untuk menjalani latihan industri. Sememangnya kebanyakan institusi meletakkan latihan industri di tahun akhir sebagai mandatori, tetapi tidak bererti anda tidak boleh membuat latihan industri anda sendiri pada setiap cuti semester dan lebih awal daripada yang ditetapkan. Kebanyakan latihan industri berlangsung dari jangka masa 4 bulan sehinggalah 12 bulan. Ada pelatih yang merasakan tempoh 4 bulan terlalu pendek, jadi tidak salah untuk cuba memohon tempoh latihan industri anda dilanjutkan.
‘Tapi saya ingin berehat sewaktu cuti semester, penatlah!’
Betul, tapi sanggupkah anda membuang masa daripada mengumpul pengalaman kerja? Selain itu, ada juga organisasi yang membayar elaun kepada pelatih. Cuba bayangkan situasi ini; katakan di setiap cuti semester anda menjalani latihan industri. Di tahun ketiga (atau terakhir), jika anda masih membuat latihan di sana, mungkin kakitangan dan pengurusan sudah mengenali anda dan potensi anda. Mungkin juga anda telah menghasilkan kerja-kerja yang bagus untuk taraf pelajar seperti anda. Siapa tahu, mereka akan menawarkan anda tempat selepas anda bergelar graduan? Kalau ia tidak berlaku pun, tidak mengapa. Resume anda kini sudah kukuh dengan senarai latihan industri yang mengagumkan dan mungkin berupaya menarik perhatian majikan lain.
6. Anggapnya seperti pekerjaan yang sebenar
Latihan industri merupakan langkah pengenalan kepada anda sebelum memasuki dunia pekerjaan. Walaupun ia hanyalah seperti ‘pandu uji’ untuk membiasakan diri dengan karier yang anda berminat, eloklah anda menganggapnya seperti kerja yang sebenar dengan menjadi komited dan produktif. Inilah peluang untuk anda membiasakan diri dengan selok-belok karier pilihan anda dan bertanya sekiranya tidak faham. Ini tidak sama apabila anda mula memasuki fasa kerja yang sebenar. Anda mungkin tidak akan mendapat bimbingan (anda mungkin perlu belajar sendiri) dan dianggap bersedia untuk mengalas tanggungjawab dan menjadi produktif, bukan bertatih untuk memahami peranan anda.
‘Tak perlu rasanya buat macam ini kerja sebenar, saya hanya pelatih.’
Mentaliti sebegini perlu dihapuskan. Menjadi pelatih bererti anda di bawah pemerhatian, sama ada di bawah pengawasan penyelia anda atau pun pihak pengurusan. Mereka mungkin sedang mencari calon yang berpotensi. Jika anda hanya bermalas-malasan, anda hanyalah sekadar pelatih yang datang menyiapkan laporan buku log, bukan calon yang berpotensi diserapkan.
Sentiasa beringat, organisasi dimana anda menjalankan latihan industri mempunyai hubungan yang baik dengan organisasi – organisasi lain di dalam industri yang sama. Jadi lakukan yang terbaik, manalah tahu potensi anda sedang diperhatikan oleh organisasi lain yang berminat…
7. Dapatkan bimbingan
Seperti kita semua maklum, latihan industri adalah tempoh untuk anda belajar dalam situasi sebenar dunia pekerjaan. Pastikan anda mendapat bimbingan seorang mentor. Jika anda tidak diberikan mentor, cari inisiatif untuk mendapatkan seseorang membantu anda. Tiada yang lebih mengecewakan daripada menghabiskan sepanjang durasi latihan industri menjadi keliru dengan peranan anda, atau lebih teruk, langsung tidak dipedulikan.
‘Tapi semua orang nampak terlalu sibuk untuk membimbing saya!’
Betul, kerana ini adalah tempat kerja, bukan bilik kuliah. Apa yang anda lakukan majoritinya bermula dengan diri sendiri, dan dapatkan bantuan daripada penyelia untuk nasihat dan maklum balas. Yang anda perlu lakukan bukanlah ‘tolong ajar saya’ tetapi ‘apa pendapat anda’ apabila inginkan bimbingan. Bukan semua orang berpeluang mendedikasikan waktu kerja mereka dengan mengajar anda.
8. Jangan pulang awal (dan tidak terlalu lambat)
Walaupun anda digalakkan pulang sebaik waktu bekerja tamat, tetapi sebenarnya magis latihan industri bermula selepas waktu kerja tamat (kecuali pulang lambat disebabkan lambakan kerja). Ini tidaklah dijamin, tetapi jika anda berada di pejabat selepas waktu kerja tamat, mana tahu para kakitangan akan mengajak anda bersosial. Tidak kiralah sama ada lepak makan malam beramai-ramai ataupun sesi bermain futsal, tetapi ini adalah petanda baik untuk anda mula ‘networking’!
Seperti disebut sebelum ini, adalah penting untuk menjadikan anda dikenali para kakitangan organisasi sebelum anda mula menjalin rangkaian profesional. Adalah lebih baik anda dikenali sebagai ‘budak pelatih yang menjaring gol sewaktu futsal semalam’ daripada ‘budak pelatih yang duduk diam dan tidak bercampur orang’.