Di ICE Fair UNIMAS 2015 baru-baru ini, Synthia Ronald telah berkongsi dengan SarawakYES! mengenai kerjayanya yang bermula sebagai seorang juruwang di Pasaraya Emart. Seorang yang tidak mudah malu dan tidak gentar menghadapi cabaran, Synthia kini merupakan seorang Group HR & Admin Senior Executive di Emart Group of Companies dan inilah sesi temuduga bersamanya.
Ikuti temubual bersama beliau ini…
S: Apakah yang dicari/kriteria yang perlu ada pada pekerja yang ideal/sesuai?
J: Kriteria yang paling penting bagi pihak Emart adalah mereka mesti mempunyai nilai integriti yang tinggi, berdedikasi dan tabah.
S: Kenapakah ianya penting untuk seseorang untuk mempunyai kriteria ini untuk berjaya dalam organisasi anda?
J: Sebab dalam bidang peruncitan, kita memerlukan pekerja yang mempunyai ketabahan yang sangat tinggi untuk menempuhi cabaran yang berbeza setiap hari, jika anda bukan seorang pekerja yang sabar, kemungkinan anda tidak dapat mengatasi setiap cabaran yang bakal hadapi. Ianya disebabkan kita kena bersaing dengan banyak persaingan yang lain.
Integriti adalah nilai yang amat penting apabila pekerjaan kita melibatkan transaksi duit. Kita kena mempunyai integriti yang sangat tinggi barulah kita dapat memastikan organisasi mendapat keuntungan yang tinggi.
S: Apakah tip yang dapat dikongsi kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai perniagaan ini?
J: Yang paling penting adalah mereka mesti mempunyai keinginan untuk belajar sesuatu yang baru dan sentiasa berfikiran positif. Janganlah mudah berfikiran negatif. Selain itu, janganlah mudah putus asa apabila menempuhi cabaran.
S: Nyatakan pandangan anda tentang pengalaman bekerja di Sarawak.
J: Saya berasa sangat gembira kerana dapat sumbangkan balik kepada Sarawak walaupun sebelum ini saya pernah belajar di Sabah, saya sentiasa mempunyai keinginan untuk balik ke Sarawak dan menyumbangkan sesuatu ke Sarawak. Sebagai tanah kelahiran, saya anggap Sarawak sebagai sebuah negeri yang sangat penting kepada saya.
S: Selain belajar di kolej/universiti, apakah cara lain bagi lulusan/lepasan kolej/universiti dalam persediaan untuk mengisi tenaga kerja?
J: Yang paling penting adalah jangan memilih kerja. Yang penting adalah menimba pengalaman.
Apa sahaja peluang yang tiba, walaupun sebagai seorang juruwang, khidmat pelanggan, atau pegawai keselamatan; saya menasihati supaya ambil tawaran tersebut dan jangan malu mencuba.
Saya mengatakan demikian keranapada peringkat awal saya bekerja di Emart, saya adalah seorang juruwang sahaja tetapi saya tidak malu walaupun saya mempunyai segulung ijazah. Sebab bagi saya pasaran pekerjaan memerlukan seseorang yang mempunyai pengalaman bekerja dan tahap keyakinan yang tinggi.
S: Sila ceritakan pekerjaan pertama anda dan nyatakan apakah yang anda pelajari dalam pengalaman itu.
J: Pekerjaan pertama saya selepas sekolah menengah adalah bekerja sebagai seorang guru sandaran sahaja. Pengalaman itu amat bermakna kerana saya telah berpeluang belajar mengendalikan pelajar sebab pelajar mempunyai tingkah laku yang berbeza. Jadi, saya perlu tahu selok – belok untuk menarik minat pelajar supaya mereka dapat fokus dalam pelajaran mereka.
Tidak banyak beza dengan kerjaya saya sekarang. Apa yang saya pelajari dan alami semasa menjadi cikgu sandaran saya serapkan dalam kerja saya kerana saya dapati bahawa pelanggan juga adalah sama. Oleh itu, penting untuk kami mengetahui cara – cara untuk menghadapi tekanan dan menarik pelanggan untuk mengunjungi pasaraya kami.
S: Pada pendapat anda, apakah cabaran paling besar yang anda hadapi?
J: Cabaran paling besar pernah saya menghadapi adalah apabila saya perlu bersaing dengan ramai graduan-graduan lain yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. Sebagai seorang yang baru bergraduat, saya kena tunjukkan bakat, kebolehan dan kemahiran saya untuk dipilih bekerja di organisasi ini.
S: Pada pendapat Synthia, apakah kesilapan utama yang sering dilakukan oleh sebilangan besar dalam mencari pekerjaan pertama?
J: Kesilapan paling besar adalah untuk berfikir bahawa apabila keluar sahaja daripada universiti, kita akan dapat jawatan yang tinggi contohnya, eksekutif, penolong pengurus, ataupun pengurus dan mesti ada gaji yang sekurang-kurangnya lebih dari RM 3,000, walaupun tanpa sebarang kemahiran ataupun pengalaman. Kita mesti faham bahawa apa yang dipelajari semasa menuntut dan dunia pekerjaan adalah sangat berbeza. Yang penting adalah untuk kita bersaing dengan calon – calon yang lain.
S: Bolehkah anda kongsikan nasihat kepada sesiapa yang hendak mencari pekerjaan?
J: Nasihat saya adalah, jangan memilih. Jadikan pekerjaan pertama anda sebagai batu loncatan untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi.
Memang setiap tahap mempunyai cabaran berbeza, kita semestinya tabahkan sendiri untuk merealisasikan impian sendiri. Kita juga harus mempunyai visi dan misi yang tinggi.
Paling penting adalah bertindak, bersikap positif dan sudi untuk belajar walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Dengan cara ini barulah kita dapat mengetahui sekiranya diri kita sesuai untuk bidang tersebut.