Guru harus sedia berubah bagi menyesuaikan diri dengan perubahan semasa supaya tidak ketinggalan dan kekal relevan kepada anak-anak murid
Permohonan bagi Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024 mendapat sambutan hebat apabila seramai kira-kira 15,000 orang telah membuat permohonan setakat ini.
Tawaran pengambilan tersebut yang dibuka pada 1 Ogos 2024 dikhaskan untuk pelajar-pelajar tempatan yang memiliki kelayakan dalam bidang pendidikan dan bukan pendidikan bagi mengisi 1,134 kekosongan jawatan guru di enam (6) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak meliputi Betong, Saratok, Subis, Kapit, Daro dan Serian.
Kolaborasi di antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) itu bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak.
Hal ini pastinya mengundang keterujaan dalam kalangan pelajar yang mempunyai minat terhadap kerjaya keguruan, lebih-lebih lagi tawaran tersebut dikhaskan kepada anak-anak tempatan dan akan ditempatkan di bumi sendiri.
Kerjaya dalam keguruan menawarkan banyak faedah dan ganjaran. Dari kepuasan peribadi hingga ke jaminan pekerjaan dan peluang untuk memberi impak positif kepada kehidupan pelajar, keguruan ialah kerjaya yang boleh mengubah minat seseorang menjadi matlamat.
Walau bagaimanapun, individu yang bercita-cita menjadi guru perlu memahami dan menghayati dengan mendalam tentang peranan seorang guru dan bukan hanya sekadar mahu mengisi kekosongan dan mengajar.
Guru kerjaya yang mulia yang mempunyai nilai unik dan tersendiri. Menjadi guru bukanlah tugas yang mudah kerana kerjaya sebagai seorang guru menuntut kecekalan, keikhlasan dan semangat mendidik yang tinggi.
Hal tersebut demikian kerana guru ialah insan yang paling bertanggungjawab dalam memberi didikan dan bimbingan kepada anak-anak selepas ibu bapa.
Darjat seorang guru begitu mulia di sisi agama. Namun demikian, seseorang guru tidak seharusnya mengharapkan anak-anak muridnya membalas jasa-jasanya secara materialistik.
Sebaliknya, cukuplah seorang guru sekadar mengharapkan anak-anak didiknya membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan yang cemerlang dalam pencapaian akademik hingga dapat menyumbang sesuatu yang berguna kepada bangsa dan negara.
Di sinilah peranan seorang guru memberi impak positif kepada pembangunan insan. Secara hakikinya, tugas guru adalah mengajar.
Sebenarnya, lebih daripada itu, pembinaan kekuatan intelek terhadap diri sendiri membolehkan seorang guru terus menjadi ‘ensiklopedia bergerak’ yang dijadikan sebagai sumber rujukan dalam bidang masing-masing.
Guru berperanan mengupayakan diri dengan ilmu dan pengalaman agar dapat membangunkan potensi modal insan melalui penyerapan elemen-elemen kerohanian dan kurikulum.
Dalam hal ini, guru menyediakan bahan rangsangan bagi mengoptimumkan potensi anak-anak murid serta menyediakan pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan bersepadu untuk menghasilkan modal insan yang menghayati aspirasi negara.
Guru yang memiliki nilai intelek yang mantap mampu mendatangkan kebaikan kepada masyarakat apabila seseorang guru itu berkongsi kepakarannya dengan umum.
Guru juga menjadi contoh kemurnian akhlak dan budi pekerti supaya menjadi ikutan dan panduan kepada anak-anak murid.
Untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa misalnya perubahan pantas dalam teknologi, guru harus bersedia untuk berubah.
Perubahan teknologi turut mempengaruhi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) selain pengenalan dasar pendidikan baharu yang perlu dihadapi dan ditangani oleh guru sebaiknya.
Sekiranya seseorang guru masih berada di takuk lama, maka ia akan ketinggalan dan dianggap tidak lagi relevan kepada anak-anak muridnya.
Oleh yang demikian, memilih kerjaya sebagai guru perlu didorong oleh minat dan cinta terhadap kerjaya tersebut.
Minat dan cinta terhadap keguruan akan mendorong ke arah kesempurnaan kerjaya seorang guru yang akan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.