By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Tahukah anda, dalam proses menyaring calon yang berpotensi, pihak penemu duga bergantung kepada tanggapan pertama untuk menentukan sama ada calon layak atau sebaliknya.
Kerana itulah 10 saat pertama pada sesi temu duga sangat kritikal dalam menentukan kejayaan anda. Sebarang kesilapan dalam tempoh pendek ini mampu mempengaruhi hala tuju temu duga. Jadi, elakkan daripada memberi tanggapan salah kepada penemu duga. Jika anda akan menghadiri temu duga dalam masa terdekat, lima tip ini mungkin berguna untuk anda dalam memberi tanggapan pertama yang hebat terhadap bakal majikan!
1. Berpakaian sesuai
Hadir ke temu duga kelihatan selekeh atau tidak menepati etika memberikan tanggapan pertama yang buruk kepada penemu duga.
Ini boleh mempengaruhi kredibiliti anda sebagai calon berpotensi. Dan mungkin menyebabkan temu duga sedikit teranggu mengakibatkan and tidak berupaya menampilkan keupayaan yang sebenar. Sentiasalah berpakaian kemas (tidak semestinya daripada jenama mahal!) walaupun anda telah mendapat kerja yang diinginkan, kerana ia melambangkan keperibadian anda.
2. Sentiasa senyum
Berikan tanggapan pertama dengan senyuman kerana tersenyum memberi petanda anda peramah dan sedia berkomunikasi. Dan menguntum senyuman adalah mudah! Ia membantu mengurangkan suasana tegang di dalam bilik temu duga selain memberi tanggapan anda calon yang meyakinkan dan boleh dipercayai.
3. Dapatkan maklumat secukupnya
Pelajari tentang organisasi tersebut sebanyak mungkin, agar anda tidak kelam-kabut apabila disoal tentangnya sewaktu temu duga. Cari maklumat di Internet, layari laman web, temui individu yang bekerja atau pernah bekerja di situ dan bermacam-macam lagi. Fahami visi, misi dan nilai-nilai yang mereka dukung.
Kumpul maklumat tentang jawatan dan skop kerja yang anda pohon. Majikan semestinya inginkan calon yang arif dan lengkap dari segala segi di sesi temu duga.
4. Tiba awal 10 minit
Tiba lewat hanya akan memberi gambaran yang anda tidak serius untuk ditemu duga. Dan bakal majikan akan menganggap anda memang gemar datang lewat, jadi mengapa perlu anda diberi peluang? Anda pasti tidak mahu dilabel tidak berdisiplin. Jadi, pastikan anda tiba 10 minit awal ke lokasi temu duga, maklumkan kepada individu yang berkenaan dan tunggu giliran anda.
5. Majikan inginkan kakitangan yang berwibawa dan benar-benar berminat dengan kerjanya
Lontarkan soalan sewaktu temu duga, ini bukan sahaja menunjukkan anda berminat tetapi berkemampuan untuk menangani sebarang perkara diutarakan.
Kegagalan berbuat demikian akan menampakkan anda tidak aktif dan tidak berupaya. Tapi perlu diingatkan, komunikasi dengan penemu duga hendaklah nampak bersahaja dan bersifat dua hala serta bermakna berbanding bertanya soalan yang tidak relevan dan merepek.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (Sarawak). Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagam dan YouTube.