Kepelbagaian warisan budaya dalam negara kita yang berbilang kaum perlu dipelihara oleh semua pihak
Warisan budaya adalah cara hidup yang dibangunkan oleh masyarakat dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang seterusnya.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti manusia, warisanlah yang menjadi panduan kehidupan seharian dan melambangkan identiti sesuatu kaum.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan warisan budaya sebagai peninggalan nenek moyang seperti tradisi, kepercayaan atau cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu kaum.
Warisan budaya merangkumi warisan budaya fizikal seperti alam sekitar, alam semula jadi dan artifak manakala warisan budaya bukan fizikal pula mencakupi cerita rakyat, lagu rakyat, bahasa, nilai, puisi dan sejarah lisan.
Negara kita Malaysia yang berbilang kaum kaya dengan pelbagai adat resam dan budaya. Di Sarawak sahaja terdapat 27 etnik besar dan 74 etnik kecil. Kepelbagaian warisan budaya ini adalah satu keunikan dan harus dihargai oleh semua.
Dalam arus pemodenan yang dialami hari ini, warisan budaya perlu dikekalkan agar tidak pupus ditelan zaman.
Hal ini demikian kerana ledakan teknologi maklumat, penggunaan peranti mudah alih dan digital sangat mempengaruhi gaya hidup masyarakat dari semua peringkat usia.
Dalam aspek hiburan dan riadah misalnya, anak-anak muda lebih gemar menonton Netflix, mencipta dan melayari kandungan dalam Tik Tok dan Instagram, bermain video game dalam talian dan sebagainya.
Jarang sekali kita lihat, malah boleh dikatakan hampir tiada lagi anak-anak muda hari ini bermain permainan tradisional seperti bermain guli, gasing dan layang-layang berbanding dengan generasi yang melalui zaman kanak-kanak lebih tiga (3) dekad yang lalu.
Hal ini menjadi cabaran dalam melestarikan warisan budaya untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang.
Walau bagaimanapun, pemodenan tidak seharusnya menjadi halangan untuk kita tidak mengekalkan warisan budaya yang diturunkan oleh nenek moyang kita sejak berkurun lamanya.
Sebaliknya, teknologi yang wujud dari proses pemodenan harus dimanfaatkan untuk dijadikan medium dalam mengekalkan warisan budaya.
Sebagai contoh dalam penggunaan teknologi, warisan budaya dapat didokumentasikan dalam bentuk video, blog ataupun podcast.
Setelah didokumen, kandungan tersebut boleh dikongsikan di pelbagai platform media sosial untuk dipertontonkan kepada khalayak di seluruh dunia.
Oleh itu, gunakanlah platform seperti TikTok, YouTube, Instagram dan Facebook untuk mengetengahkan warisan budaya kita.
Sebelum itu, usaha mengekalkan atau melestarikan warisan budaya perlu dimulakan dengan pendidikan sama ada di rumah mahupun di sekolah.
Pendidikan memainkan peranan yang paling penting kerana mendidik dan memberi pengetahuan kepada generasi muda tentang kepentingan warisan budaya mampu mengelakkan kehilangan identiti dan jati diri bangsa dan akan menjadikan kita lebih menghargai apa yang diwarisi.
Sebilangan pakar mencadangkan supaya subjek-subjek seperti sejarah seni, seni visual, muzik tradisional dan elemen-elemen lain dalam budaya setiap masyarakat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah.
Mempelajari warisan budaya secara formal dapat membantu pelajar untuk lebih memahami nilai dan kepentingan warisan budaya dalam kehidupan mereka serta terinspirasi untuk terus memeliharanya.
Inisiatif lain dalam usaha ini juga termasuklah menganjurkan karnival warisan budaya. Penganjuran boleh diadakan secara berkala sebagai platform untuk memperkenalkan pelbagai jenis budaya kepada masyarakat seperti dalam seni tari dan muzik, adat perkahwinan, adat menerima tetamu, adat dalam majlis keramaian, pantang larang ketika menerima cahaya mata dan sebagainya.
Selain itu, galakan dalam bentuk dana ataupun insentif kepada penggiat seni dan budaya juga merupakan langkah penting untuk memastikan kelangsungan warisan budaya.
Sokongan kewangan daripada pihak kerajaan dan swasta dapat membantu para penggiat tempatan meneruskan usaha mempromosi warisan budaya hingga ke luar negara.
Perlu diingatkan bahawa mengekalkan warisan budaya akan menjadikan kita saling mengenali asal usul kita dan pada masa yang sama dapat memastikan warisan budaya kita berkembang maju untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Rujukan: