By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Jika anda masih belum tahu, peluang kerjaya teknikal dan vokasional kini semakin mendapat tempat di Sarawak.
Ini bukan sahaja berita baik buat negeri Sarawak, malahan petanda baik kepada anak-anak muda kita dalam merencana karier dan masa depan mereka.
Pendedahan yang meluas tentang karier berasaskan teknikal dan vokasional kini menjadikannya pilihan utama kebanyakan generasi muda. Penyebabnya cukup jelas, kemahiran yang meluas dan gaji yang lumayan.
Yang paling penting, ia menawarkan prospek kerjaya yang cerah dan menjamin kewangan untuk jangka masa panjang.
Selari dengan perkembangan pesat pelbagai industri di sepanjang Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), permintaan untuk pekerja berkemahiran turut meningkat. Cabaran utama dihadapi pihak terlibat adalah memastikan kuota individu yang layak untuk mengisi kekosongan pekerjaan dapat dipenuhi dengan pantas.
Menteri Pembangunan Industri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan baru-baru ini berkata, mengikut kajian pada tahun 2010 oleh Universiti Malaysia Sarawak, negeri ini perlu menghasilkan 40,000 pemegang sijil (individu berkemahiran) setiap tahun untuk memenuhi keperluan projek-projek SCORE dan tidak termasuk projek lain.
SCORE merupakan pemangkin kepada kejayaan ekonomi Sarawak, dengan membawa masuk pelbagai pelaburan korporat penting dan turut membantu mewujudkan industri baru di Sarawak. Syarikat multinasional turut dipelawa SCORE dengan pelbagai keistimewaan untuk menggalakkan mereka beroperasi di Sarawak untuk julung kalinya, seperti Tokuyama dan Sakura Ferroalloys.
Dengan adanya pekerjaan teknikal dan vokasional, ia turut membuka peluang untuk anak-anak Sarawak memperolehi gaji yang lumayan (atau menarik) sambil mempelajari kemahiran baharu. Menyedari hakikat ini, SCORE menawarkan anak-anak muda Sarawak peluang istimewa untuk memulakan karier dalam bidang menjadi rebutan para majikan seperti kejuruteraan elektrik, mekanikal (atau mekanik) dan kimpalan.
Peluang yang terbentang ini haruslah direbut secepat mungkin, kerana seperti disebut sebelum ini, ia menjanjikan masa depan yang cerah.
Data daripada kerajaan menunjukkan jurang perbezaan yang meluas di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja dijangkakan sehingga tahun 2020 untuk pekerjaan teknikal dan vokasional.
Sekiranya anda merujuk kepada jenis pekerjaan secara spesifik, didapati peluang untuk ia berkembang diramalkan hanya untuk tempoh dalam tempoh lima tahun akan datang sahaja. Dijangkakan permintaan yang banyak akan wujud daripada bidang mekanikal, kimpalan, pelancongan, elektrik/elektronik, dan perhutanan.
Walaupun kerajaan negeri aktif dalam mempromosikan latihan teknikal dan vokasional demi memastikan jumlah tenaga kerja tempatan yang mencukupi untuk Sarawak, sokongan masih lagi diperlukan daripada pihak lain.
“Sokongan daripada ibu bapa membentuk asas penting untuk menggalakkan anak-anak mereka memilih pendidikan teknikal dan meyakinkan mereka bahawa bidang vokasional dan teknikal bukan lagi sektor kelas kedua. Ramai sudah berjaya dalam bidang ini dengan pendapatan yang tinggi,” ujar Dr Ramli Rashidi, Pengarah Advanced Technology Training Centre (ADTEC) Bintulu baru-baru ini kepada The Borneo Post.
Beliau menambah yang sektor teknikal kini dianggap sebagai pekerjaan kelas pertama disebabkan keperluan industri untuk pekerja berkemahiran tinggi, tetapi mengakui masih perlu memperbetulkan persepsi masyarakat mengenainya.
Untuk anak-anak muda Sarawak yang masih tercari-cari jalan bagi memulakan karier, kerjaya teknikal dan vokasional menawarkan peluang baik memandangkan keperluan untuk tenaga kerja berkemahiran akan sentiasa ada. Ditambah pula dengan tawaran gaji yang lumayan, tiada sebab untuk sektor ini dianggap sebagai kelas kedua lagi.
Dalam usaha Sarawak terus membangun, individu-individu dengan kemahiran sebeginilah yang diharap akan menjadi tulang belakang untuk memacu pembangunan negeri kita yang tercinta ini.
* Ini merupakan coretan pertama di ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. SarawakYES! bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.