By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Bagi kebanyakan anak-anak muda kita, menentukan perjalanan karier sememangnya sesuatu yang mencabar. Dengan pelbagai pilihan kerjaya yang tersedia di pasaran, memilih kerjaya yang benar-benar sesuai dengan diri memerlukan ketelitian dan kefahaman yang menyeluruh.
Perancangan kerjaya merupakan satu proses yang berterusan dan perlu dikemas kini setiap beberapa tahun untuk menilai sama ada anda berada di haluan kerjaya yang betul.
Sama ada anda ingin menentukan jenis pekerjaan anda buat pertama kali atau menukar haluan yang berbeza daripada asal, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam membantu anda membuat keputusan.
“Perkara paling penting saya sering kongsikan kepada para pelajar saya adalah ketahui apa yang anda mahu,” ujar Azid Allan, Pengurus Sumber Manusia Sakura Ferroalloys kepada SarawakYES! baru-baru ini.
“Saya tahu ini soalan agak sukar untuk dijawab, tetapi pastikan anda tahu apa yang anda hendak lakukan, serta fahami pilihan yang anda ingin buat.”
Berikut adalah 7 perkara yang mungkin boleh membantu anda yang dibelenggu dilema pemilihan kerjaya yang sesuai.
1. Apakah minat anda?
Walaupun wang mungkin menjadi pendorong utama, elakkan daripada menjadikan ini sebagai satu-satunya matlamat dalam memilih kerjaya. Wang sahaja tidak akan mampu memberi anda motivasi dan tenaga untuk berjaya dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, pertimbangkan sekiranya karier ini mampu membangkitkan minat anda. Sebagai contoh, adakah anda minat memasak untuk keluarga dan rakan-rakan? Mungkin cef adalah kerjaya yang sesuai untuk anda. Atau adakah anda sayangkan haiwan? Mungkin doktor haiwan satu pilihan yang sesuai.
2. Senaraikannya!
Sebaik sahaja anda mula menilai pilihan yang berpotensi, senaraikan pekerjaan yang menarik minat anda. Kemudian, selidik satu demi satu pilihan yang disenaraikan untuk mendapat kefahaman lebih mendalam tentangnya. Ini membantu anda dalam menyenarai pendek pilihan anda kepada yang betul-betul sesuai.
3. Personaliti
Amat penting sekali untuk anda mempunyai karier yang membolehkan anda berkembang dari segi emosi dan prestasi. Cuba fahami personaliti anda, kerana ini boleh membantu anda dalam melihat kesesuaian diri anda dalam kerjaya dipilih. Sebagai contoh, jika anda seorang yang pendiam dan pemalu, bidang Perhubungan Awam atau Komunikasi mungkin bukan untuk anda. Sekiranya anda mahir dalam matematik, bidang kejuruteraan boleh jadi sesuai dengan anda.
4. Apakah kelebihan anda?
Setiap individu mempunyai kemahiran atau bakat tertentu. Cuba fikirkan kelebihan anda dan bagaimana ia membantu dalam kerjaya anda.Boleh jadi anda berbakat dalam seni lukis, jadi karier dalam bidang grafik atau rekaan kreatif mungkin pilihan yang sesuai.
5. Rancangkan perjalanan karier untuk hala tuju pilihan anda.
Tulis dan senarai pendek idea anda. Apabila sudah disenarai pendek kerja yang anda suka, rancangkan perjalanan karier untuk setiap pilihan. Cara ini membolehkan anda melihat peluang dan potensi yang terdapat dalam setiap pilihan serta semestinya, menunjukkan pilihan yang paling sesuai untuk anda.
6. Jalani program perantisan (internship)
Sekiranya masih tidak pasti hala tuju anda, program perantisan mungkin boleh membantu. Sekiranya anda mendapati tugas yang diberikan ia tidak sesuai, sekurang-kurangnya anda telah mendalami pilihan tersebut. Selain itu, program perantisan membolehkan anda menjalinkan rangkaian profesional, yang anda akan dapati sangat berguna kelak untuk perkembangan karier.
7. Berkenalan dengan mereka yang di dalam industri
Cuba bertanyakan kepada rakan – rakan yang sudah mempunyai kerjaya. Mereka mungkin berada dalam bidang yang anda ingin sertai. Tanyakan tentang skop kerja dan peranan mereka. Ini cara termudah untuk mempelajari tentang bidang yang anda ingin cuba. Dapatkan terus daripada mereka, tanyakan pengalaman dan nasihat, ia lebih berharga daripada yang anda temui di Internet.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (Sarawak). Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.