Hari ini, pencipta kandungan digital atau pempengaruh turut berperanan penting dalam memelihara warisan budaya
Dalam landskap digital hari ini, pempengaruh (influencer) muncul sebagai agen perubahan yang memiliki pengaruh yang signifikan terhadap para pengikut mereka.
Jaringan sosial yang kuat dijadikan platform perubahan sosial dalam banyak perkara termasuklah dalam hal berkaitan pemeliharaan warisan budaya.
Wujudnya komunikasi global yang semakin mudah diakses, pempengaruh memanfaatkan platform media sosial untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang amalan tradisional, seni dan budaya yang dikhuatiri lenyap sekiranya tidak diberi perhatian.
Artikel ini membicarakan bagaimana pempengaruh dapat memainkan peranan dalam memelihara warisan budaya.
Mengangkat Tradisi Dalam Dunia Moden
Pencerita Budaya
Pempengaruh boleh memainkan peranan lebih daripada sekadar sensasi media sosial, iaitu sebagai pencerita budaya.
Sebagai contoh, kandungan digital mengenai tarian tradisional, kepentingan meraikan kebudayaan ataupun berkongsi anekdot tentang pengukir dan tukang kayu tempatan dengan visual dan naratif yang menarik mampu menambat hati penonton.
Merapatkan Jurang Generasi
Cabaran utama dalam memelihara warisan budaya ialah meneruskannya kepada generasi akan datang. Melalui platform media sosial, pempengaruh boleh berperanan sebagai penghubung di antara golongan tua dengan golongan muda.
Kandungan berunsur didikan dan pengetahuan tentang adat dan amalan tradisional dapat diakses dengan mudah oleh golongan celik digital yang mungkin mempunyai sedikit pengetahuan tentang latar belakang warisan budaya mereka.
Meraikan Kepelbagaian
Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya pelbagai etnik. Pempengaruh perlu memahami kepentingan meraikan kepelbagaian ini dengan menjadikannya sebagai medan untuk mengetengahkan adat resam, tradisi dan perayaan pelbagai kumpulan etnik sambil memupuk semangat perpaduan dan inklusiviti dalam kalangan pengikut mereka.
Memelihara Warisan Budaya
Mempromosi Pakaian Tradisional
Dalam beberapa kandungan video, kita biasa melihat pempengaruh lengkap berpakaian tradisional ketika menghadiri sambutan perayaan mahupun majlis keramaian tradisi sesuatu kaum.
Apabila pempengaruh menggayakan pakaian tradisional, mereka bukan sahaja mempromosi pakaian tersebut, malah juga mengekalkan warisan busana tradisional, memberi inspirasi serta menimbulkan rasa bangga dan penghargaan terhadap warisan budaya dalam kalangan pengikut mereka.
Pengembaraan Kulinari
Makanan tradisional menjadi aspek penting dalam mana-mana budaya. Melalui pengembaraan gastronomi yang menjangkaui pelbagai warisan budaya, sama ada di jalanan mahupun restoran mewah, pempengaruh telah mendokumentasi dan memaparkan keunikan masakan masyarakat Malaysia yang telah diwarisi turun-temurun.
Seni dan Kraf Tradisional
Malaysia kaya dengan khazanah seni dan kraf tangan tradisional. Kehalusan dan keunikan hasil kraf tangan negara kita sering mendapat pujian warga asing.
Kandungan yang memaparkan pempengaruh mencuba sendiri pengalaman menghasilkan kraf tradisional seperti aksesori, tenunan songket, penghasilan batik, pertukangan kayu dan sebagainya secara tidak langsung mengetengahkan dan menghargai bakat dan kemahiran tempatan dalam warisan seni tradisional.
Pada masa yang sama, pempengaruh juga telah mengangkat martabat warisan kraf serta memastikan karya purba terus berkembang dalam dunia moden.
Mendidik dan Membela Warisan Budaya
Kandungan yang dihasilkan oleh pempengaruh bukanlah sekadar untuk hiburan di media sosial semata-mata.
Sebaliknya, mereka secara tidak langsung telah mendidik audien tentang perkara yang perlu diambil perhatian dalam memelihara warisan budaya melalui pandangan peribadi mereka terhadap kepentingan sejarah, budaya dan tradisi dalam kehidupan sesuatu kaum.
Pengetahuan yang diperolehi hasil daripada pengalaman menghadiri sambutan perayaan, majlis keramaian tradisi serta adat resam juga akan mewujudkan rasa ingin tahu dan hubungan yang mendalam dalam kalangan pengikut terhadap warisan budaya masing-masing.
Sebagai kesimpulan, pempengaruh dapat memainkan peranan sebagai duta budaya, pendidik dan pendukung dalam memartabatkan warisan budaya agar tidak tenggelam dalam arus pemodenan dan dapat diwarisi oleh generasi masa depan.
Paparan tentang latar belakang budaya dan pandangan mengenai kepentingan warisan budaya akan menimbulkan rasa penghargaan dan kepunyaan dalam kalangan pengikut, seterusnya mendidik mereka tentang kekayaan pelbagai budaya dan menginspirasikan penyertaan aktif mereka dalam usaha pemelihraan warisan budaya.
Rujukan: