Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024 bertujuan untuk mengatasi isu kekurangan guru di beberapa daerah di Sarawak
Permohonan bagi Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapat sambutan hebat apabila telah mencapai kira-kira 15,000 permohonan setakat ini sejak tawaran dibuka pada 1 Ogos 2024.
Pengambilan yang dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk graduan pendidikan dan graduan bukan pendidikan bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan guru di Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), YB Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, sebanyak 1,134 kekosongan jawatan guru yang perlu diisi di enam (6) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak, iaitu Betong, Saratok, Subis, Kapit, Daro dan Serian.
Memandangkan permohonan yang diterima begitu memberangsangkan, beliau percaya bahawa penilaian dan pemilihan oleh SPP dibuat bukan hanya berdasarkan pada kelayakan akademik sahaja.
Oleh yang demikian, beliau menasihatkan graduan yang dipilih supaya memiliki sikap dan kebolehan yang diperlukan oleh seorang guru.
Mengulas nasihat beliau tersebut, perlu untuk diterangkan sedikit tentang peranan dan ciri yang perlu ada pada seorang guru di zaman ini yang mencabar yang mana perubahan teknologi berlaku dengan pantas dan mempengaruhi mobiliti sosial dan ekonomi.
Secara tradisional, tugas dan peranan hakiki guru ialah sebagai sumber ilmu pengetahuan dengan mengajar dan lebih kepada mendidik pelajar dalam kehidupan dan persekitaran sekolah.
Namun begitu, peredaran zaman telah menjadikan pendekatan dalam memberi tunjuk ajar dan keperluan dalam pendidikan turut berubah.
Hari ini, peranan guru bukan hanya mengajar semata-mata, sebaliknya juga berperanan sebagai pemudah cara kepada pembelajaran pelajar.
Guru perlu mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif dan produktif yang mana pelajar perlu dibentuk dari segi kemahiran untuk masa depan mereka.
Dalam erti kata lain, guru berperanan melahirkan pelajar berkemahiran dalam berfikir aras tinggi, kemahiran komunikasi yang efektif dan berpengetahuan tentang teknologi.
Berikut adalah beberapa peranan yang perlu dimainkan oleh guru pada masa ini:
Fasilitator Pembelajaran: Guru membimbing pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP), membantu mengembangkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah daripada hanya menyampaikan kandungan dalam persekitaran di mana pelajar boleh meneroka dan mendapatkan pengetahuan secara aktif.
Mentor dan Jurulatih: Di luar bidang akademik, guru menyokong perkembangan peribadi dan sosial pelajar dengan memberikan mereka bimbingan, galakan dan maklum balas untuk membantu pelajar membina keyakinan serta mencapai potensi mereka.
Pengamir (Integrator) Teknologi: Ledakan teknologi dan maklumat serta peningkatan sumber digital memerlukan guru mengintegrasikan teknologi dalam proses PdP seperti menggunakan perisian pendidikan, sumber dalam talian dan platform digital untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran dan memastikan pelajar melibatkan diri.
Penyokong Budaya dan Emosi: Guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran bilik darjah atau sekolah amnya yang inklusif dengan meraikan perbezaan budaya, kepelbagaian, memahami keperluan pelajar serta menggalakkan rasa hormat terhadap budaya dan perspektif yang berbeza di samping memberikan sokongan emosi kepada pelajar.
Kolaborator: Bagi menyokong pembelajaran pelajar, guru pada masa ini perlu berkolaborasi dengan pihak pentadbiran sekolah, ibu bapa dan masyarakat melalui perkongsian sumber, strategi dan pandangan untuk menangani keperluan pelajar dengan lebih berkesan.
Penuntut Pembelajaran Sepanjang Hayat: Guru hari ini ialah penuntut dalam pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam hal ini, guru perlu melalui proses pembelajaran secara berterusan di samping sentiasa peka dengan perkembangan terkini tentang penyelidikan dalam pendidikan, kaedah pengajaran dan kemajuan teknologi untuk pembangunan kendiri dan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan.
Pereka Penilaian: Guru mencipta dan melaksanakan pentaksiran yang bukan sahaja mengukur pemahaman pelajar tetapi juga memastikan pelajar memahami arahan yang diberikan.
Pelbagai alat dan strategi penilaian yang boleh digunakan oleh guru untuk mengukur kemajuan pelajar dan menyesuaikan kaedah pengajaran dengan sewajarnya.
Menyokong Pelajar: Dalam menyokong keperluan dan kesejahteraan pelajar, guru perlulah berusaha memastikan pelajar mempunyai akses kepada sumber pembelajaran yang diperlukan termasuklah menawarkan perkhidmatan sokongan.
Secara ringkasnya, guru pada masa ini memainkan peranan yang lebih luas. Peranan-peranan tersebut juga melibatkan keseimbangan di antara tugas mengajar secara konvensional dan menyesuaikan diri dengan keperluan pelajar yang berkembang dalam persekitaran pendidikan yang dinamik.