By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Universiti masih kekal menjadi pilihan utama anak-anak muda Sarawak yang merancang untuk melanjutkan pengajian.
Namun begitu, kebelakangan ini Latihan dan Pendidikan Teknikal Vokasional (TVET) semakin mendapat perhatian ramai, terutama belia yang ingin mempelajari kemahiran baharu.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM1 billion untuk Tabung Pembangunan Kemahiran bagi membolehkan lebih ramai pelajar mendapat pendidikan berbentuk kemahiran dan vokasional.
“Melalui program ini, lepasan Latihan dan Pendidikan Teknikal Vokasional berpeluang mendapat pekerjaan dengan kadar pendapatan, nilai tambah yang tinggi dalam sector seperti minyak dan gas, kejuruteraan penerbangan, perkapalan serta automotif,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan RMK11 Khamis lalu.
Ini berlaku di atas beberapa sebab, dan kerajaan Sarawak memandang positif terhadap perkembangan ini serta berharap untuk melihat lebih ramai akan memilih TVET. Ini akan membantu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang diramalkan bertambah pada masa akan datang.
Semenjak Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) diperkenalkan pada tahun 2008, banyak syarikat daripada pelbagai industry membuat pelaburan di Sarawak.
Sejajar dengan pelaburan dan perkembangan yang dibawa, keperluan untuk tenaga kerja berkemahiran menjadi agenda penting.
Justeru, ia membuka peluang untuk anak-anak muda Sarawak untuk mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dan latihan yang diperlukan untuk menyertai industri-industri ini.
Graf yang disertakan menunjukkan perkembangan yang mantap dalam penyertaan TVET di Sarawak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan ini diramalkan sehingga tahun 2020.
Sungguhpun jumlahnya memberansangkan, masih banyak lagi perlu dilakukan untuk meyakinkan orang ramai tentang peluang kerjaya dalam bidang ini yang bukan sahaja berbaloi serta berdaya maju, malah dapat menjana pendapatan yang tinggi.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini menegaskan komitmen kerajaan terhadap pengajian untuk bidang ini dan menyatakan keinginan beliau melihat lebih ramai penduduk Sarawak memilihnya sebagai pilihan untuk pendidikan.
‘Pendidikan teknikal merupakan pilihan ramai masa kini, terutama yang mementingkan kelayakan akademik. Kita memerlukan mereka yang berkemahiran ‘hands on’dan profesional dalam bidang teknikal. Permintaan untuk individu yang berkelayakan dalam bidang teknikal dan saintifik akan sentiasa wujud dan bertambah,” kata beliau.
Pada minggu lepas, ruangan SarawakYES! telah menekankan tentang permintaan untuk menghasilkan 40,000 pemegang sijil kemahiran setiap tahun di Sarawak untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di kawasan SCORE.
Sehingga kini, terdapat 92 institusi TVET di Sarawak yang menghasikan 25,000 pemegang sijil berkemahiran setiap tahun.
Untuk itu, kerajaan telah merancakkan usaha di sekolah, kolej dan universiti teknikal serta institusi latihan vokasional bagi memastikan jumlah tenaga kerja mahir tempatan yang mencukupi untuk jangka masa panjang.
Pelan jangka masa pendek pula memerlukan tenaga kerja diimport luar bagi memastikan SCORE terus berkembang mengikut perancangan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memetik contoh negara-negara seperti Perancis dan Jerman serta jiran seperti Indonesia dan Singapura sebagai negara yang mementingkan latihan dan pendidikan teknikal vokasional. Beliau menyebut kerajaan akan menambah jumlah institusi TVET di Sarawak untuk menghasilkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam memenuhi keperluan industri.
“Keperluan untuk tenaga kerja teknikal dan vokasional berkemahiran tinggi di negara kita sekarang ini begitu tinggi memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah industrialisasi dan Sarawak turut tidak terkecuali apatah lagi dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” kata beliau.
Sebagai usaha untuk memperkasakan isu ini, Sarawak akan menjadi tuan rumah untuk Persidangan TVET Sedunia 2015 pada 25-27 Ogos dengan tema “Quantum Leap: Transformation and Globalisation of Technical Vocational Education & Training: Living Skills in the 21st Century.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (Sarawak). Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.