Terdapat pelbagai pilihan untuk melanjutkan pengajian, bergantung kepada minat dan matlamat individu
Sambung pengajian adalah langkah penting bagi banyak individu yang ingin meningkatkan kemahiran, pengetahuan, dan peluang kerjaya mereka.
Di zaman yang semakin kompetitif ini, pendidikan tinggi bukan sahaja menjadi satu keperluan tetapi juga satu pelaburan untuk masa depan.
Menurut Cik Najeehah binti Mahidin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Hubungan Antarabangsa) dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), stigma masyarakat terhadap sambung pengajian selalu hanya dikaitkan dengan Institut Pengajian Tinggi.
Namun sebenarnya, terdapat pelbagai pilihan untuk menyambung pengajian sama ada pengajian peringkat sijil, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Ijazah Sarjana Muda dan sebagainya bergantung kepada minat dan matlamat individu.
Bagi beliau, menyambung pengajian adalah sangat penting kerana pada akhirnya ia akan membentuk siapa diri kita bahkan menjadi ‘penentu’ masa hadapan yang lebih baik atau sebaliknya bergantung kepada bagaimana kita mempraktikkan ilmu tersebut.
Menyambung pengajian bukan sekadar hendak mendapat gaji yang lebih tinggi atau mendapat jawatan tinggi di masa hadapan, namun matlamat sebenarnya ialah untuk memanfaatkan setiap ilmu yang diperolehi dalam kehidupan setiap hari.
Ilmu yang diperolehi akan memberi impak terhadap personaliti kita, cara berfikir, cara bercakap dan yang paling penting ialah cara kita menyelesaikan atau mengendali sesuatu masalah secara kreatif, inovatif dan praktikal.
Kita harus ingat bahawa, sambung pengajian ini merupakan satu ‘pengorbanan’ untuk kita membentuk diri dengan ilmu pengetahuan yang luas.
Apabila kita mempunyai ilmu pengetahuan luas, kita akan mudah menerima sesuatu perkara itu sebagai “indirect knowledge”.
Walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana, namun keinginan untuk menyambung pengajian tetap ada.
Baru-baru ini, beliau telah mengambil kursus pensijilan dalam bidang Environmental, Social dan Governance (ESG) for Enterprise di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Santubong kerana melihat peluang pekerjaan yang sangat luas dalam bidang kemahiran pada masa kini.
Setelah memasuki alam pekerjaan, beliau menyedari bahawa menyambung pengajian itu sangat penting kerana ilmu itu akan dipraktikkan dimana sahaja kita berada terutama sekali apabila kita menceburi bidang perniagaan yang memerlukan Kemahiran kita dalam khidmat pelangan.
Dalam perkhidmatan pelanggan, kita perlu tahu akan sesuatu produk serta mahir dalam membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) kerana, kita pasti akan berdepan dengan “spontaneous question” berkenaan produk yang kita jual.
Bagi Cik Elriana Veralissa binti Jaidi, sambung pengajian adalah satu keputusan yang bijak dan strategik untuk individu yang ingin memajukan diri dalam kerjaya dan kehidupan.
Beliau yang memiliki Diploma Pengajian Sukan, Fakulti Sains Sukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak berkata, salah satu tujuan menyambung pengajian adalah untuk mendapat peluang kerjaya yang lebih baik.
Hal ini kerana, banyak majikan ataupun syarikat-syarikat pada hari ini mencari calon pekerja yang mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi.
Misalnya sijil Pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mengikuti standard pekerjaan yang diakui, penekanan kepada komponen praktikal serta pendedahan kepada latihan di industri sudah tentu bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan tetapi menjengah gaji yang tinggi.
Tambah beliau, masa depan pekerjaan di seluruh dunia sedang berubah seiring dengan kemajuan teknologi pada hari ini, sudah tentu kebanyakan majikan ataupun syarikat besar lebih memilih calon pekerjanya yang memiliki Sijil Kemahiran, Diploma, Ijazah dan sebagainya.
Selain itu, beliau juga berpandangan bahawa apabila kita menyambung pengajian, kita dapat memperdalam pengetahuan dalam bidang tertentu yang pada akhirnya boleh membantu kita menjadi seorang pakar dan lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.
Bagi beliau, menyambung pengajian itu bukan sahaja tentang akademik, tetapi juga tentang pertumbuhan peribadi kerana ilmu yang diperolehi dapat membantu kita membina keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan kebolehan berfikir secara kritikal.
Secara dasarnya, terdapat pelbagai pilihan untuk melanjutkan pengajian, bergantung kepada minat dan matlamat individu iaitu sambung pengajian untuk mendapat Diploma, Ijazah, Sijil Profesional secara bersemuka atau sambung pengajian menerusi platform secara dalam talian.
Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, banyak platform menawarkan kursus dalam talian yang fleksibel, membolehkan individu yang bekerja untuk belajar pada waktu yang sesuai bagi mereka.
Dengan pelbagai pilihan yang ada, setiap orang mempunyai peluang untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.