Sesi Townhall ‘Sarawak Agenda Bersama Premier Sarawak’ yang dikendalikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato Lukanisman bin Awang Sauni sebagai moderator dan selaku Pengerusi Jawatankuasa Townhall 2024 (Sumber gambar: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1101242898235069&set=pcb.1101242924901733)
Sarawak berhasrat hendak menjadi pembekal elektrik yang utama di ASEAN namun, ada beberapa pre-qualification perlu dipenuhi bagi mencapai matlamat tersebut.
Antara pre-qualification tersebut ialah, kerajaan berkehendakan anak Sarawak yang mahir dalam ilmu elektrik iaitu mereka yang bergelar jurutera-jurutera elektrik dan juga pakar-pakar di dalam teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligent (AI).
Perkara ini ditekankan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg pada Sesi Townhall Lan Berambeh bersama Premier Sarawak bagi Edisi yang ke-15 tahun 2024.
Menurut Premier Sarawak, ke arah usaha tersebut, kita memerlukan data elektrik serta sumber datanya justeru, kita memerlukan pakar-pakar dalam teknologi AI ini untuk mengakses data-data tersebut.
Sehubungan itu, Premier Sarawak menegaskan bahawa dunia sekarang sedang menghadapi masalah perubahan iklim dan ia sudah menjadi cabaran utama dunia sehingga menggesa Sarawak untuk turut mencari kaedah penyelesaian sekurang-kurangnya bagi mengurangkan masalah tersebut.
Selepas menjalankan kajian, Premier Sarawak mendedahkan bahawa Sarawak mempunyai kaedah untuk membantu dunia mengatasi masalah perubahan iklim tersebut iaitu melalui tenaga boleh diperbaharui.
Mengikut data yang ada pada beliau, terdapat tiga (3) buah negara iaitu negara Bhutan, Paraguay dan Ethiopia sudah dapat menjana 100% tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui.
Merujuk kepada data ASEAN Centre for Energy yang diterbitkan pada September lalu, negara ASEAN hanya mengeluarkan 15.6% bekalan tenaga berbanding sasaran 23% menjelang 2025.
Namun begitu, kita amat beruntung kerana negeri kita mempunyai sumber dimana kita dapat mengeluarkan tenaga bersih sebanyak 70% menerusi tenaga hidro dan 30% daripada bukan hidro.
Selepas beliau mengkaji perkara ini, secara dasarnya kita boleh mengeluarkan elektrik daripada empangan melata (cascading dam) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tanah.
Bagi Premier Sarawak, Sarawak kini sudah ada banyak jalan raya menyebabkan sungai sudah kurang digunakan, jadi Kerajaan Sarawak akan membangunkan empangan hidro elektrik melatadaripada anak sungai.
Dengan cara ini, ia tidak akan menjejaskan tanah mahupun kawasan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kerana ia hanya menggunakan air yang mengalir daripada sungai.
Disebabkan terdapat permintaan untuk membina empangan sebegini di Nanga Gaat, Kapit, maka kerajaan akan mula membangunkan empangan melata tersebut di situ sekaligus menjadikan ia sebagai model untuk meningkatkan sumber tenaga hidro.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut menyentuh tentang solar terapung (floating solar) yang telah dibangunkan di empangan Batang Ai bagi menjana tenaga yang boleh diperbaharui.
Premier Sarawak menyatakan bahawa empangan Batang Ai dapat mengeluarkan tenaga hidroelektrik sebanyak 108 megawat (MW).
Empangan Batang Ai mempunyai waterbodies yang begitu besar tetapi kita hanya menggunakan 3% daripadanya untuk mengeluarkan lebih kurang 50MW tenaga hidroelektrik.
Bayangkan, kalau kita ada solar terapung bukan saja di empangan Batang Ai, tetapi turut dibangunkan di empangan Murum, Bakun dan Baleh, maka kita akan dapat mencapai sasaran untuk menjana 15 gigawatt tenaga elektrik daripada sumber solar dan air menjelang 2025.
Kalau kita menggunakan tenaga dimana majoritinya adalah sumber tenaga yang boleh diperbaharui, maka Sarawak akan menjadi ‘The Power House of ASEAN’.
Hasilnya, kita akan dapat menyambung kepada Asean Grid malah, kita boleh berkongsi tenaga dengan Semenanjung Malaysia dan Singapuran maksimum 1,000 MW.
Menurut Premier Sarawak lagi, pada masa ini, kita sudah membekalkan elektrik kepada Indonesia (West Kalimantan) bahkan turut melabur di Kalimantan Timur menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), dan seterusnya kita akan membekalkan elektrik sampai ke Nusantara Indonesia.
Berbalik kepada air tadi, selain daripada hidro, ia boleh digunakan sebagai asas untuk mengeluarkan gas hidrogen kerana air adalah H2O yang membawa maksud setiap molekul air mengandungi dua atom hidrogen dan satu atom oksigen dimana apabila ia dipecahkan, akan mengeluarkan hidrogen.
Menurut saintis, hidrogen adalah tenaga bersih yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah perubahan iklim ini dan setakat ini, Sarawak adalah negeri yang ke hadapan dalam teknologi hidrogen.
Hidrogen akan menjadi bahan api untuk pengangkutan awam yang tidak mengeluarkan asap karbon termasuk karbon monoksida.
Inilah sumber yang ada untuk Kerajaan Sarawak menjana kegiatan ekonomi hijau berasaskan kepada teknologi hijau.
Sebab itu, ekonomi baharu Sarawak daripada ekonomi digital telah berhijrah kepada ekonomi hijau yang akan menjadi pendekatan untuk membangunkan negeri Sarawak dan juga serantau.
Dalam hal ini, Sarawak perlukan ramai anak-anak yang pakar dalam bidang kimia dan kejuruteraan kerana hidrogen ini akan menjadi bahan api di masa hadapan kerana kita berhasrat hendak menjadi negeri pengeluar tenaga hijau yang tidak mengeluarkan asap-asap yang banyak karbon.
Di Kuching, kita dalam proses membina Sistem Aliran Transit Automasi (ART) yang pertama di Malaysia menggunakan tenaga hidrogen yang akan dikeluarkan dari Loji H2 Rembus.
Seterusnya, Premier Sarawak turut menyentuh tentang gas dimana Sarawak sudah mempunyai udang-undang iaitu Gas Distribution Ordinance dimana sekarang Sarawak ada kuasa dalam pengagihan gas dan kuasa ini adalah berdasarkan kepada undang-undang kita dalam Perlembagaan Malaysia.
Sebab itu, apa yang Kerajaan Sarawak buat ketika ini adalah berteraskan kepada Perlembagaan Malaysia dan berdasarkan Undang-Undang Sarawak yang sudah termaktub sebelum Malaysia.
Justeru, anak-anak Sarawak perlu tahu akan perundangan kerana untuk memperjuangkan hak Sarawak berteraskan kepada MA63, anak-anak Sarawak perlu kepakaran dalam undang-undang.
Premier Sarawak menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada Universiti Malaya (UM) kerana bermula daripada tahun ini, telah diwujudkan Fakulti Undang-Undang di Sarawak dengan menggunakan fasiliti yang ada di Universiti Swinburn untuk anak-anak Sarawak belajar undang-undang.
Premier Sarawak mahu anak-anak Sarawak belajar dan menguasai undang-undang yang ada di Sarawak seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Tanah hak adat bumiputera (NCR) dan sebagainya yang berkaitan dengan Sarawak.