By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Media sosial kini mendominasi setiap aspek hidup kita. Mengemas kini status di Facebook, menulis tweet di Twitter atau berkongsi gambar di Instagram, ini semua adalah bukti yang media sosial merupakan gaya hidup kita masa kini.
Ramai melihat media sosial sebagai tempat untuk suka-suka, menghubungi teman lama atau baru, berkongsi gambar atau pendapat tentang hampir semua perkara. Pendek kata, berkisar tentang diri dan persekitaran anda.
Jadi, adakah Facebook, Twitter dan Instagram benar-benar selamat dan tidak membahayakan reputasi anda, selagi ia tentang kehidupan anda? Sebelum menjawab persoalan ini, mari kita lihat situasi di bawah.
Dengan semudah menaip nama anda di carian Google, pelbagai maklumat tentang anda boleh ditemui, daripada blog anda tentang reviu mekap yang anda pakai, sehinggalah kepada kecenderungan politik. Justeru, memang perlu untuk anda berhati-hati dengan apa yang dikongsi di Internet. Jadi, untuk menjawab persoalan tadi; ya, media sosial berupaya untuk meninggalkan impak terhadap reputasi karier anda di dunia sebenar.
Apabila majikan ingin mengambil kakitangan baru, mereka bukan sahaja akan menyemak resume dan surat iringan pemohon. Yang akan turut dilakukan adalah menyemak latar belakang anda; dan ini termasuk menyemak kewujudan anda di media sosial untuk sebarang tanda-tanda mencurigakan atau ‘red flags’ tentang anda.
Dalam kita seronok berinteraksi di media sosial, terdapat beberapa panduan yang boleh membantu profil media sosial anda tampak bersih.
1. Elakkan daripada meninggalkan komen tentang majikan atau kerja anda.
Hari yang buruk di pejabat, atau berselisih pendapat dengan bos anda? Sebelum melepaskan geram di Facebook, ada baiknya anda bertenang dan fikir semasak-masaknya fikiran, anda akan dapati sebenarnya tidak perlu pun melepas geram di Facebook!
2. Mengemas kini media sosial sewaktu cuti sakit.
Tidak kiralah sama ada menulis status, memuat naik gambar atau apa sahaja, apabila anda sedang bercuti sakit, ada baiknya kurangkan aktiviti di media sosial. Bukan sahaja dapat mengelakkan syak wasangka majikan, tetapi juga demi kebaikan reputasi anda sendiri.
3. Menyuarakan pandangan politik atau keagamaan yang melampau.
Yang penting di sini adalah bersederhana. Semua orang mempunyai pandangan politik dan agama yang berbeza-beza. Elakkan daripada mencetuskan rasa tidak puas hati, jadi ulasan yang provokatif dan berniat memecah-belah tentulah tidak diingini. Anada tentunya tidak mahu dilabel sebagai pembuat kacau.
4. Terlalu asyik dengan media sosial sewaktu kerja.
Ramai antara kita yang memeriksa media sosial di waktu pejabat. Walaupun perbuatan ini boleh diterima ramai majikan, menjadi terlalu obses dengannya sehingga mengganggu produktiviti kerja adalah berbahaya. Cuba hadkan waktu anda di media sosial.
5. Berkongsi semuanya di media sosial.
Laman Facebook biasanya penuh dengan gambar atau video keluarga dan rakan-rakan kita. Ini menyeronokkan, betul? Tapi sekiranya berlaku krisis, ada antara kita cenderung untuk meluahkannya di ‘online’. Elakkan daripada perbalahan ‘online’ berlarutan, dan paling penting, daripada dilihat orang luar. Ini termasuklah bakal majikan anda.
6. Menggunakan ekspresi bersifat perkauman.
Sikap perkauman tidak mempunyai tempat di media sosial, dan dunia sebenar. Malah, respons terhadap isu perkauman tersebar lebih pantas di online. Dan anda tidak mahu terlibat dengannya. Ambil kisah Justine Sacco sebagai contoh, seorang pekerja perhubungan awam yang memuat naik tweet yang mengundang kemarahan ramai sejurus berlepas ke Afrika. Sebaik mendarat, beliau mendapati tweet beliau telah trending dan menerima kecaman teruk – hanya bersikap ‘celupar’ di ‘online’, mengakibatkannya kehilangan kerja.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.