UTS telah diiktiraf sebagai Universiti Terbaik Malaysia dalam TVET
Baru-baru ini, UTS telah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Terbaik Malaysia dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi Latihan Kemahiran Lanjutan.
Penganugerahan tersebut adalah di atas kejayaan UTS menerusi program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (Inovasi Teknologi) yang menggabungkan pendidikan pengurusan teknologi dengan kursus TVET.
Program ini sangat unik kerana ia berdasarkan pendekatan antara disiplin dan memberi tumpuan kepada pengurusan teknologi dalam konteks perniagaan, kejuruteraan, dan Teknologi Maklumat (IT).
Program ini telah direka khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi pekerja mahir dan separuh mahir di Malaysia khasnya dan di Sarawak amnya.
Selain itu, program ijazah ini juga direka untuk memberi pemahaman terhadap para pelajar mengenai konsep pengurusan teknologi maklumat asas dan kemahiran teknologi praktikal.
Pelajar juga turut didedahkan kepada isu perniagaan yang boleh diselesaikan dengan bantuan teknologi selain memberi pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi ahli teknologi, pemimpin, dan pengurus dalam organisasi dalam persekitaran perniagaan dan teknikal yang kian berubah.
Program ini ditawarkan secara mod pengajian sepenuh masa atau separuh masa.dengan jumlah kredit bergraduat ialah sebanyak 121 kredit
Sehubungan itu, program ini telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia dan diberikan akreditasi sementara oleh Agensi Kelayakan Malaysia.
Program yang diwujudkan ini telah membezakan UTS sebagai peneraju dalam menyediakan kemahiran dan pengetahuan berkaitan industri selain hendak memastikan graduan bersedia untuk memenuhi permintaan tenaga kerja moden.
Semasa berucap pada Majlis Penghargaan tersebut, Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid menekankan bahawa pengiktirafan tersebut bukan sahaja untuk kepentingan universiti semata-mata, tetapi juga untuk masyarakat secara umumnya.
Selaku warga UTS, beliau amat berbesar hati kerana mendapat pengiktirafan atas komitmen mereka terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Tambah beliau, pengiktirafan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai ‘Pusat Bertauliah’ menekankan dedikasi mereka untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian kebangsaan.
Justeru, pencapaian ini merupakan detik kebanggaan bagi seluruh Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan di UTS, kerana ia mencerminkan kerja keras dan dedikasi sekolah dan kakitangan.
Anugerah ini juga adalah bukti usaha berterusan universiti untuk memartabatkan pendidikan teknikal di Malaysia dan menyumbang kepada wawasan negara dengan menjadi peneraju global dalam latihan kemahiran lanjutan.
Anugerah Pendidikan dan TVET Malaysia 2024 Edisi Ketiga yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud adalah anjuran Education + TVET Asia’ Publications sempena Anugerah HR ASEAN 2024 oleh HrHub.my.
Datuk Ts Mustapha memuji usaha Education + TVET Asia’ Publications untuk menghimpunkan golongan profesional pendidikan di negara ini terutamanya dari sektor TVET.
Beliau amat mengalu-alukan lebih ramai pemain TVET untuk terus mempromosikan pendidikan TVET di negara ini kerana ia sering dianggap sebagai pilihan yang tidak menarik untuk lepasan sekolah.
Hal ini memandangkan, pendidikan TVET ialah kunci untuk meningkatkan tenaga kerja mahir demi kestabilan dan pembangunan ekonomi negara.
Berkenaan dengan UTS, ia yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) telah ditubuhkan pada 2013.
Penubuhan UTS adalah salah satu inisatif Kerajaan Sarawak dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan SCORE bagi melonjakkan Sarawak ke arah pertumbuhan ekonomi yang berasaskan perindustrian selaras dengan matlamat mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Sejak ditubuhkan pada 2013, UTS telah berkembang dalam kuantiti dan kualiti program akademik yang ditawarkan serta pencapaian dalam penyelidikan dan pembangunan.
Pada awalnya, UTS hanya bermula dengan empat program akademik pada 2013 dan pada hari ini, UTS telah menawarkan 30 program akademik daripada Asasi, Sarjana Muda, Sarjana dan PhD.
Selain menawarkan program-program pengajian bertaraf universiti antarabangsa, UTS juga menawarkan kemudahan pendidikan terkini bagi memudahkan pembelajaran dan penyelidikan yang diselaraskan dengan keperluan tenaga kerja mahir untuk SCORE.
Menurut Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid, kadar kebolehpasaran graduan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) merupakan antara yang tertinggi di Malaysia, iaitu sebanyak 97.53 peratus setakat Oktober 2023.
Antara faktor yang menyumbang kepada pencapaian berkenaan ialah, program akademik yang ditawarkan telah diakreditasi serta diiktiraf oleh badan-badan profesional dalam dan luar negara.