UTS menjadi universiti pertama di Malaysia mendapat anugerah Green Building Index (GBI) Platinum
Pada zaman serba canggih, didukung oleh teknologi yang berkembang pesat pada hari ini, lepasan sekolah dituntut untuk mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran teknikal yang tinggi, aspek kebolehan pengurusan, berkemampuan berfikir secara kritis, inovatif dan kreatif.
Hal Ini disebabkan kebanyakan kerja dan tuntutan tugas pada masa sekarang dan masa akan datang akan disokong oleh instrumen pengurusan yang dibantu oleh kepesatan teknologi.
Perkembangan teknologi baharu ini telah membawa banyak kemajuan sebagai alat ilmu untuk manusia dalam membangunkan kehidupan di dalam dunia moden.
Oleh itu, lepasan sekolah digalakkan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama mereka kerana bidang TVET sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini disebabkan oleh keperluan industri.
TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan memberi penekanan terhadap amalan industri.
Di Sarawak, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) telah diiktiraf sebagai salah sebuah universiti TVET terbaik di Malaysia, justeru anak-anak Sarawak wajar memilih UTS sebagai tempat untuk melanjutkan pengajian mereka.
Bidang-bidang yang ditawarkan di bawah program latihan TVET di UTS juga telah mengikut standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan terhadap komponen praktikal dan pendedahan kepada latihan industri.
UTS yang terletak di Wilayah Tengah Sarawak, Sibu telah ditubuhkan pada tahun 2013 dengan menawarkan pelbagai program akademik profesional dan berkaitan industri yang relevan dengan keperluan unik Sarawak.
Pada mulanya, UTS ditubuhkan sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) pada 1 April 2013, kemudian dianugerahkan status ‘Universiti Penuh’ pada 8 November 2021 oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ditukar nama kepada Universiti Teknologi Sarawak (UTS).
UTS terkenal dengan fokusnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat. Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai UTS;
- Menawarkan pelbagai program pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, perniagaan, kesihatan masyarakat, seni kulinari, senibina dan lain-lain;
- Mempunyai kemudahan moden termasuk pusat pembelajaran, makmal komputer, perpustakaan, kemudahan sukan dan rekreasi, serta asrama untuk pelajar;
- Aktif dalam penyelidikan dan kolaborasi industri, menyediakan pelbagai peluang untuk pelajar melibatkan diri dalam projek-projek inovatif; dan
- Menitikberatkan pembangunan insan yang holistik melalui program kokurikulum yang pelbagai seperti aktiviti kebajikan, sukan, keusahawanan, dan kegiatan keagamaan.
Antara keistimewaan yang lain ialah, Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan beberapa insentif kepada para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di UTS.
Insentif-insentif tersebut ialah Biasiswa Yayasan UTS (UTS Foundation Scholarship), Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS (UTS Undergraduate and Postgraduate Scolarships) serta Skim Biasiswa UTS (UTS Scholarship Scheme), selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak.
Biasiswa Yayasan UTS dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk semua pelajar dimana menerusi biasiswa ini, Kerajaan Sarawak akan menanggung yuran pengajian sebanyak RM10,000 bagi seorang pelajar.
Pengurangan yuran pengajian ini adalah sebanyak RM 4.5 juta hingga RM7 juta setahun sepanjang lima tahun.
Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah merupakan Skim Biasiswa Khas untuk warga Sarawak dengan menanggung 50% yuran pengajian semua program pra-siswazah dan pasca siswazah.
Berdasarkan unjuran lima tahun, ini menunjukkan sumbangan dan komitmen sebanyak RM17.2 juta hingga RM27 juta setahun dari Kerajaan Sarawak.
Sebelum ini, ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak mampu belajar di UTS kerana yuran yang tinggi.
Dengan adanya biasiswa ini, akan lebih ramai anak-anak Sarawak terutama dari golongan B40 dan M40 akan memilih UTS sebagai tempat untuk mereka menuntut ilmu.
Skim Biasiswa UTS untuk warga Sarawak kategori B40-M40 adalah salah satu inisiatif untuk menampung 80% dari yuran pengajian dimana skim ini menampung untuk 100 pelajar Bumiputera dan 100 pelajar bukan Bumiputera setahun.
Berdasarkan unjuran lima tahun, ini menunjukkan sumbangan dan komitmen Kerajaan Sarawak sebanyak RM 3 juta setahun menerusi UTS.
Bantuan kewangan yang lain daripada Yayasan Sarawak adalah dalam bentuk pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa melanjutkan pelajaran di UTS.
Selain itu, penganugerahan akademik dalam bentuk Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di UTS bukan sahaja diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA).
Malah, hampir semua program akademik di UTS diakreditasi serta diiktiraf oleh badan-badan profesional dari dalam dan luar negara.
Ini termasuk Board of Engineers Malaysia (BEM), Board of Architects Malaysia (LAM); Board of Quantity Surveyors Malaysia (BQSM); Royal Institutions of Surveyors Malaysia (RISM); Malaysian Institute of Interior Designers (MIID); Malaysia Board of Technologists (MBOT); The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA); United Kingdom, Certified Practising Accountant (CPA); Australia, Chartered Tax Institute of Malaysia (Ctim); dan Huawei Academy and Association for Computing Machinery (ACM).
Oleh itu, graduan UTS bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik, tetapi pencapaian mereka juga turut diiktiraf oleh badan-badan profesional tempatan dan antarabangsa.
Salah satu pendekatan yang digunakan oleh UTS sebagai universiti TVET terbaik ialah, mereka sering berbincang dengan industri swasta berhubung keperluan program memenuhi kehendak pasaran selain pensijilan professional dan pensijilan industri turut diberikan kepada penuntut yang tamat pengajian.
Untuk rekod, kadar kebolehpasaran graduan UTS adalah antara yang tertinggi di Malaysia, iaitu 97.53 peratus setakat Ogos 2023.