By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Memang benar, tiada yang lebih melegakan selepas berjaya mendapat tawaran pekerjaan yang diidamkan. Manakan tidak, puas anda berhempas-pulas memohon dan menghadiri temu duga, mestilah anda hanya mengharapkan berita baik.
Tetapi, ini tidak bererti anda boleh menarik nafas lega. Ini merupakan permulaan untuk anda membina reputasi kerja yang baik kepada majikan dan rakan-raka sekerja di samping menghasilkan kerja yang sempurna.
Sebenarnya, bukan susah pun untuk memuaskan hati majikan baharu anda.
Terdapat beberapa panduan ringkas untuk membantu anda mengharungi beberapa bulan pertama di tempat kerja dan seterusnya melangkah ke hala tuju yang sepatutnya untuk karier anda.
1. Bersikap positif.
Kita semua maklum yang pendidikan yang bagus dan pengalaman kerja adalah faktor untuk karier yang sukses. Namun ada satu lagi komponen penting yang sering diabaikan: sikap. Mempunyai kerjaya diinginkan dengan mentaliti yang sesuai akan meletakkan anda di hadapan. Jadi pastikan anda menunjukkan minat yang mendalam, berusaha menjadi cekap demi memenuhi skop kerja anda dan sentiasa mencari peluang untuk belajar serta mempertingkatkan diri. Individu bersikap positif akan sentiasa menganggap tugasan yang diberi sebagai peluang untuk belajar perkara baharu, bukan sebagai bebanan.
2. Amalkan sikap bertanya.
Apabila anda di tempat baru, banyak perkara baru menunggu untuk dipelajari. Daripada duduk menunggu rakan sekerja mengajar anda, ada baiknya anda ambil inisiatif sendiri dengan bertanya terus. Pastikan anda bertanya dengan banyak (dan tidak merepek, semestinya!). Ini bukan sahaja menunjukkan yang anda bersedia untuk belajar dan menjadi sebahagian daripada kumpulan, tetapi juga menunjukkan yang anda sebenarnya benar-benar berminat dengan jawatan yang disandang.
3. Mempunyai inisiatif
Ambil peluang untuk menjadikan diri anda sebagai aset berguna syarikat, di samping menjadikan ini batu loncatan kepada karier anda. Jangan tunggu untuk tugasan sampai kepada anda, sebaliknya cari jalan untuk membuat inisiatif. Sekiranya tugasan telah selesai, ringan-ringankan bertanya kepada ketua anda sekiranya ada projek lain yang anda boleh turut serta atau bantu. Tonjolkan yang anda mampu bekerja dalam kumpulan, bukan sekadar pekerja yang menurut arahan. Pastikan anda turut berkongsi sebarang idea yang boleh menyumbang kepada perkembangan projek atau syarikat.
4. Masuk Awal, Pulang Tidak Terlalu Lewat
Setelah anda mendapat pekerjaan yang diidamkan, kini anda perlulah menunjukkan yang anda benar-benar komited. Jika anda tiba dan balik kerja pada waktu yang tepat, anda tidak akan meninggalkan impak yang berkesan terhadap bos anda. Ia mungkin akan memberi pandangan kepada mereka yang anda bekerja di situ semata-mata gaji dan tidak berminat untuk buat lebih daripada yang dibayar. Apa kata anda datang awal (ini bagus untuk memulakan hari anda tanpa kelam-kabut) dan tidak menjadi orang yang pertama meninggalkan pejabat apabila waktu kerja tamat.
5. Menjadi pendengar
Selain daripada mempunyai inisiatif dalam kerja baharu, anda juga perlu rajin menjadi pendengar. Ini penting lebih-lebih lagi sewaktu anda baharu lagi menyertai tempat kerja anda. Anda perlu kekal fokus dan mengingati banyak maklumat untuk dimanfaatkan dalam skop kerja anda di kemudian hari.
6. Menjadi fleksibel.
Butiran kerja anda mungkin menyenaraikan peranan dan tanggungjawab untuk diikuti, namun itu tidak bererti anda hanya tertakluk kepada yang dipertanggungjawabkan. Sekiranya ketua anda meminta bantuan untuk projek lain atau membantu kumpulan anda bekerja di luar skop kerja anda, bantulah dengan senang hati. Ini bukan sahaja memberi petanda yang anda mampu bekerja secara berkumpulan tetapi juga bersedia untuk mempelajari kemahiran baharu.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.