By SarawakYES!
http://www.utusanborneo.com.my
Bagi para penuntut di Sarawak (dan di mana-mana sahaja, amnya), memilih pekerjaan merupakan keputusan yang besar. Ia juga boleh menjadi sebuah beban, terutamanya bagi mereka yang belum menemui minat sebenar atau kemahiran dimiliki yang boleh dimanfaatkan.
Adalah biasa di kalangan anak-anak muda bertukar- tukar kerja sehinggalah menemui karier yang menepati cita rasa. Tetapi, jika ragu-ragu tentang hala tuju anda inginkan, mungkin anda patut mempertimbangkan latihan industri.
Banyak sekali manfaat daripada latihan industri yang boleh didapati, dan itu belum termasuk kemungkinan anda diserap masuk sebagai kakitangan sebaik tamat latihan! Kalau pun tidak ditawarkan, anda tetap akan keluar daripada latihan sebagai calon yang mempunyai sedikit pengalaman (ataupun pengalaman yang banyak) tentang industri. Apa pun, lihatlah sendiri manfaat yang boleh anda nikmati daripada latihan industri.
1. Memperkukuhkan resume anda.
Katakan anda baharu saja tamat universiti tetapi mempunyai pengalaman yang terhad atau langsung tiada, resume anda akan kelihatan ‘lemah’. Tetapi, dengan menyertakan latihan industri ke dalamnya, resume bukan sahaja membuat ia tampak ‘berisi’, tetapi juga sebagai petanda yang anda seorang yang sedia untuk belajar dan bekerja keras (kerana anda pernah menghadiri latihan industri).
2. Anggapnya sebagai ‘tempoh pandu uji’ sesuatu karier.
Anda tahu tentang karier yang ingin diceburi, tapi masih ragu-ragu. Selesaikannya dengan menjalani latihan industri. Ia memberi penglibatan terus dalam industri yang anda minati, sekali gus memberi peluang untuk anda mempertimbangkan sama ada sesuai atau sebaliknya. Ambil kesempatan untuk mengetahui sama ada anda sesuai bekerja di syarikat besar atau kecil, membuat kerja-kerja pejabat atau turun untuk kerja-kerja lapangan atau sama ada budaya kerja organisasi tersebut sesuai dengan anda. Pada masa yang sama, anda berpengalaman merasai fungsi karier ini di dunia nyata.
3. Mengetahui kekuatan dan kelemahan anda.
Bila lagi waktu yang sesuai untuk menilainya kalau bukan sewaktu di latihan industri? Ia membantu dengan menjelaskan jenis kerja dan tanggungjawab yang bersesuaian dengan anda untuk terus berkembang. Selain itu, ia turut berfungsi memberi petunjuk perkara-perkara yang anda patut elak sekiranya anda ingin berjaya.
4. Wujudkan jaringan profesional.
Demi perkembangan karier anda, usaha keras dan mencapai matlamat sahaja tidak mencukupi. Tidak dinafikan yang dua faktor tadi merupakan peranan yang penting. Tetapi terdapat juga faktor lain seperti keupayaan potensi anda berkembang atau menerima tanggungjawab lebih besar sama ada di dalam organisasi semasa atau yang baharu bergantung kepada individu yang anda kenal. Ini dipanggil jaringan profesional dan tidak boleh dipandang remeh. Jalinkan hubungan profesional sewaktu masih di peringkat latihan industri, kerana ia banyak membantu apabila anda ingin memulakan langkah pertama dalam karier. Jika dilakukan dengan betul, karier anda mungkin berupaya berkembang lebih pantas.
5. Pelajari kemahiran baharu.
Sebagai graduan baru, anda pasti berkobar-kobar untuk memasuki dunia pekerjaan. Dengan menjalani latihan industri, anda bukan sahaja berpeluang merasai manfaat-manfaat yang dinyatakan di atas, malah turut mempelajari kemahiran baharu serta memperkembangkan pengetahuan. Ini merupakan kelebihan buat anda berbanding dengan mereka yang turut bersaing mencari kerja di luar sana, terutamanya yang tidak menjalani latihan industri, kerana resume anda lebih kukuh dan mempunyai kemahiran baharu untuk dilihat sebagai kelebihan oleh bakal majikan.
* Ini merupakan ruangan mingguan oleh SarawakYES! – yang merupakan inisiatif oleh Faradale Media-M Sdn Bhd dan disokong oleh Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak. Ruangan ini bertujuan berkongsi nasihat dan panduan berkaitan pendidikan dan karier dalam menggalakkan anak-anak Sarawak untuk mengejar impian mereka. Ikuti kami di Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube.